SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan MFLCC SF1 | Penang FC vs Selangor FC | Misi Mencari Bekalan Dari SF1

Jan 19, 2025 - FAS

Selangor FC terbang ke Pulau Pinang bagi saingan Separuh Akhir pertama MFL Challenge Cup 2024/25 menentang Penang FC pada jam 8:30 malam ini di Stadium Bandaraya Penang.

Ini merupakan pertemuan ke-129 di antara #SFCPEN. Gergasi Merah telah memenangi 77 perlawanan dan 20 seri. Selain itu, 271 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini. 

Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, menyatakan, biarpun beberapa pemain masih dalam sesi pemulihan tetapi beliau yakin dengan kelebihan pemain yang telah disenaraikan untuk perlawanan pada malam ini. 

“Sudah semestinya kita perlu jalani sesi latihan yang terbaik bagi menghadapi Penang FC untuk tiga perlawanan berturut-turut. Walau bagaimanapun, ada beberapa pemain masih dalam fasa pemulihan atas faktor kecederaan yang dialami mereka, namun, saya yakin pemain yang telah disenaraikan adalah yang terbaik untuk perlawanan malam ini. Saya percaya akan kebolehan yang dimiliki setiap pemain.” jelas Kinoshi.

Bagi keberadaan pemain, Noor Al-Rawabdeh telah melepasi bulan kedua pemulihan selepas mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL). Manakala, Ali Olwan pula sedang berusaha keras bagi mendapatkan semula kecergasan penuh untuk beraksi selepas pembedahan appendiks yang dialaminya.

Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan dalam pusingan Separuh Akhir pertama MFL Challenge Cup 2024/25 pada malam ini. Semoga Gergasi Merah dapat terus mengekalkan rentak kemenangan.

Demi Kebanggaan!